Seramai 118 atlet dari 11 negara akan berentap dalam Kejohanan Boling Padang Berpasukan Campuran Asia Beautiful Terengganu 2018 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, 25 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, antara negara yang menghantar wakil ialah China, Hong Kong, Korea Selatan, Macau, Pakistan dan Sri Lanka.

Turut mengambil bahagian atlet kelahiran Filipina, Brunei, Thailand, Singapura serta atlet tuan rumah, Terengganu, untuk bertanding dalam tiga acara, iaitu beregu, bertiga dan berempat campuran.

"Trofi, medal dan wang tunai berjumlah RM14,000 keseluruhan bakal menjadi rebutan atlet-atlet boling padang profesional dan amatur Asia.

"Kami berharap kejohanan ini menjadi acara tahunan dan jenama antarabangsa dalam kalendar sukan boling padang dunia," jelasnya.

Kejohanan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Lawn Bowls Terengganu dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia.

Wan Sukairi juga menyifatkan pemilihan Terengganu selaku tuan rumah acara berprestij itu tepat pada masanya dengan selesainya projek menaik taraf gelanggang boling padang terbaik di Asia Tenggara.

"Sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan prasarana, sekali gus bersesuaian untuk penganjuran berskala besar," tambah Wan Sukairi.