Seramai 115 pemain akan bersaing dalam Kejohanan Golf Amatur Terbuka Labuan 2017 di Kelab Golf Labuan (LGC) dari 25 hingga 27 Ogos ini.

Presiden LGC, Arthur Kong, berkata kejohanan tahunan kali ini adalah untuk edisi ke-26 bagi kategori lelaki manakala kategori wanita memasuki edisi ke-19.

"Daripada jumlah penyertaan itu, 96 pemain akan merebut kejuaraan kategori lelaki manakala selebihnya, iaitu 19 pemain, bersaing dalam kategori wanita.

"Persaingan kali ini dijangka sengit dengan Safarudin Abidin dari Kelab Golf Sandakan bakal kembali mempertahankan kejuaraan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Sementara itu, bagi kategori wanita, juara bertahan, Jacqueline Nickles, mengesahkan tidak akan bertanding dalam edisi kali ini.

Athur berkata bagi memeriahkan lagi kejohanan tahun ini, empat hadiah ditawarkan bagi peserta yang berjaya melakukan pukulan 'hole-in-one', termasuk dua kereta -- Honda BRV tajaan Syarikat Labuan Automobile Sdn Bhd, dan Bezza 1.3 X Auto tajaan Kurnia AmGeneral Insurance Berhad -- di samping wang tunai RM10,000 tajaan Datuk Hung How Kiong dan satu set tayar pacuan empat roda (4WD) tajaan JH Bersatu.