Sebanyak 11 pasukan -- empat pasukan Liga Super dan tujuh Liga Perdana -- akan berentap dalam Liga Ragbi Perak 2020 di Stadium Ragbi Perak mulai Sabtu ini.

Empat pasukan Liga Super itu ialah Rejimen Askar Melayu (RMR), Ipoh Lions, Navy Orca dan Politeknik Ungku Omar (PUO) manakala pasukan-pasukan dalam Liga Perdana terdiri daripada Young Lions, Menterian, Ipoh Giants, UTP Development, Anchorman, Cap Ayam RC (CARC) dan Briged Utara.

Saingan Liga Super akan dijalankan secara liga sepusingan manakala pasukan Liga Perdana dibahagikan kepada dua kumpulan.

Penyertaan dalam Liga Super berkurangan kali ini berikutan ketiadaan pasukan tetap seperti King Edward (KE) Taiping dan Silver Gaurus kerana pemain-pemainnya kini bekerja di Kuala Lumpur dan beraksi dalam Liga Ragbi Malaysia (MRL).

Tirai kejohanan akan disingkap Sabtu ini menerusi perlawanan di antara Menterian dan Ipoh Lions, diikuti pertemuan Briged Utara dengan CARC.



Editor: Shaiful Shamsudin