Sepuluh atlet kelainanupaya (OKU) akan mewakili Malaysia dalam acara olahraga dalam Deaflympic 2017 di Samsun, Turki dari 18 hingga 30 Julai ini.

Mereka ialah Mohd Rawi Kamarzama, Danish Abd Rahim, Muhammad Shahrul Azmeer Azmar, Mohd Hami Irfan Jamperidin, Mohd Ariff Firdaus Hashim dan Hor Wei Hau.

Melengkapkan senarai ialah empat atlet kelahiran Terengganu, Muhammad Nur Hidayat Mohd Refin, Nur Shahdan Muhammad, Muhammad Nur Salam dan Norafaeza Abdullah.

Menurut ketua jurulatih olahraga negara, Amiludin Mohd Amin, atlet-atlet tersebut mempamerkan peningkatan selepas memperbaharui catatan peribadi terbaik dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kedah, bulan lalu.

Katanya, walaupun tidak meletakkan harapan tinggi dalam temasya edisi ke-23 itu, dia mengharapkan kuartet 4x400 meter lelaki mampu mencipta sejarah.

“Sesuatu yang sangat membanggakan jika mereka berjaya melangkah ke peringkat akhir dan untuk memenangi pingat adalah bonus kepada kontinjen Malaysia,” ujarnya.

Bagi atlet tunggal wanita, Norafaeza, 16, kekurangan pada dirinya enggan dijadikan alasan, sebaliknya bertekad untuk membuktikan kemampuan dan mengharumkan nama Malaysia.

Ujarnya lagi, penyertaan sulungnya dalam temasya itu dalam acara kegemaran 100 meter dan 200 meter akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bergelar ratu pecut negara.

“Saya tidak berasa janggal walaupun menjadi atlet tunggal wanita, malah menganggapnya satu kelebihan untuk mengejar impian dan cita-cita saya di masa hadapan,” katanya.

Deaflympic ialah temasya Sukan Olimpik khas buat atlet OKU bermasalah pendengaran dan bakal disertai 5,000 atlet dari 80 negara dalam 21 acara sukan, dengan kontinjen negara mengambil bahagian dalam acara olahraga, bowling tenpin dan badminton.

Skuad olahraga negara telah menjalani latihan intensif di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu sejak April lalu.