"Saya hampir murung gara-gara kecederaan." Itu luahan jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, selepas dilanda kecederaan belakang hampir empat bulan, sekali gus terpaksa melupakan latihan di Jerman, bulan lalu.

Ziyad mengalami kecederaan belakang yang agak serius sejak Februari lalu selepas pulang daripada Kejohanan IPC Dubai dan hanya menjalani rawatan susulan selepas itu.

Perancangannya untuk ke Leipzig, Jerman, bulan lalu juga terpaksa dilupakan dan paling mengecewakan apabila misi untuk cuba layak ke Sukan Asia terkubur gara-gara kecederaan berkenaan.

Kini, dia hanya ingin bangkit untuk fokus sepenuhnya ke Sukan Para Asia pada Oktober depan selain bakal kembali ke Leipzig, Ogos depan bagi menjalani latihan selama sebulan.

"Saya begitu inginkan penyertaan dalam Sukan Asia. Semasa dilanda kecederaan, saya berasa sedikit murung.

"Jadi, saya terpaksa akur untuk bersaing dalam Sukan Para Asia sambil meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas dalam Sukan SEA tahun depan," katanya.

Sambutan Aidilfitri tahun ini dianggap begitu bermakna buat Ziyad apabila kali pertama menyambutnya bersama anak sulungnya yang kini berusia 10 bulan.

Semangat dan sokongan berterusan daripada keluarga terbukti menjadi kekuatannya ketika mengharungi saat sukar dilanda kecederaan.

"Tahun lepas saya beraya dengan isteri sahaja tetapi tahun ini kami menyambutnya bertiga dengan kehadiran anak perempuan.

"Ini kegembiraan untuk saya berhari raya pada 2018," katanya.