Dua tonggak skuad hoki negara, Sukri Mutalib dan Razie Abd Rahim, menegaskan misi bersama skuad negara menjadi keutamaan ketika ini daripada memikirkan nasib mereka dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Sukri dan Razie antara tonggak utama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), namun kelab itu menarik diri daripada saingan liga musim depan.

Ia memberi ruang buat pasukan seperti UniKL yang berminat untuk mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan, bagaimanapun Sukri dan Razie menjelaskan tiada perbincangan rasmi dijalankan.

Keutamaan mereka ketika ini adalah untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, dengan pemenang pingat emas secara automatik akan layak beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya masih belum memikirkan tentang liga tahun depan kerana skuad kebangsaan berdepan tugasan yang sangat penting dalam Sukan Asia," kata Razie.

Menurut Sukri pula: "Secara jujurnya, saya belum memikirkan kelab yang akan diwakili tahun depan kerana menghormati kontrak bersama KLHC yang akan tamat pada penghujung bulan ini.

"Mungkin selepas itu saya akan mempertimbangkan tentangnya tetapi saya tidak terdesak.

"Ketika ini, saya lebih fokus bersama aksi skuad kebangsaan dalam Sukan Asia Indonesia," ujar Sukri.

Sebanyak lapan pasukan sudahpun mengesahkan penyertaan dalam saingan Divisyen Perdana, Liga Hoki Malaysia 2019.