Syakilla Salni Jefry Krishnan berdepan risiko hilang penghormatan selaku pembawa bendera kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia, bulan depan apabila Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini atas dakwaan atlet itu memiliki masalah disiplin.

Syakilla diumumkan sebagai pembawa bendera selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), minggu lalu.

Dia dipilih kerana pernah menghuni ranking pertama dunia, juara bertahan Sukan Asia dan antara atlet karate-do negara yang akan beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, MAKAF mendedahkan masalah Syakilla dalam Kejohanan Asia pada hujung minggu lalu hingga terpaksa mengadakan mesyuarat khas.

"Syakilla tidak dapat beraksi dalam kategori 55kg, Kejohanan Asia dan ia merupakan satu pentas untuk menilai persembahannya dalam kalangan peserta dalam acara ini," kata Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen.

"Ini bukan kesalahan pertama yang dilakukan oleh Syakilla dan dia perlu mengambil serius perkara ini kerana dia merupakan atlet di bawah Program Podium."

MAKAF tidak akan teragak-agak meminta MOM mencari atlet lain sebagai pengganti tugas pembawa bendera.