Skuad wushu negara bertekad bangkit untuk kembali membutirkan kilauan pingat, sekali gus memadamkan memori pahit gagal membawa pulang sebarang pingat ketika edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Kali terakhir skuad wushu negara memenangi emas Sukan Asia adalah menerusi Chai Fong Ying dalam acara taijiquan pada edisi 2010 di Guangzhou.

Sejak itu, Malaysia terus kemarau kilauan emas daripada sukan ini dan perkara menarik untuk skuad wushu Malaysia kali ini adalah penyenaraian dua atlet senior, Wong Weng Son dan Yap Wai Kin yang akan bersaing dalam acara changquan.

Biarpun sudah memenangi pelbagai kejuaraan antarabangsa, pentas Sukan Asia merupakan penampilan pertama kedua-dua atlet ini.

Buat Weng Son yang juga juara dunia 2017, dia teruja apabila diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan setelah menanti sejak lapan tahun lalu ketika bersama kem kebangsaan pada 2010.

"Perasaan yang berbeza beraksi dalam Sukan Asia dan saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pulang pingat emas," kata Weng Son.

Begitu juga dengan Wai Kin, yang berikrar mahu turut menyumbang pingat meskipun sedar cabaran tidak semudah di peringkat Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

"Saya mahu membuktikan kepada Asia kebolehan saya dalam acara yang disertai," kata Wai Kin.

Malaysia juga akan kembali meletakkan sandaran kepada Loh Jack Chang.

Sebelum ini, dia pernah menyatakan hasrat untuk bersara dari arena wushu, namun menarik kembali hasratnya itu demi mahu mengembalikan reputasi negara di pentas Asia.

Ini merupakan penampilan ketiga Jack Chang dalam Sukan Asia, dengan dua aksi sebelum ini di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 menyaksikan dia gagal menyumbang sebarang pingat.

"Ini merupakan penampilan terakhir saya buat Malaysia dalam Sukan Asia 2018 dan berharap dapat meraih kejayaan," kata Jack Chang.

Selain itu, dengan kelibat Ho Ro Bin sebagai pengurus pasukan wushu negara, ia dianggap sebagai pemangkin buat kem Malaysia, apatah lagi dia pernah meraih emas ketika edisi 2002 di Busan.