Sukan Asia Indonesia 2018 menyaksikan beberapa sukan berdepan ujian getir untuk menghadirkan kilauan emas, tidak terkecuali buat skuad boling tenpin negara susulan perubahan format pertandingan yang menyaksikan acara perseorangan dan beregu tidak dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Skuad boling tenpin negara, terutama pasukan wanita, akan tampil dengan reputasi hebat selaku juara dunia tahun lalu.

Malah, skuad negara kali ini dibarisi rata-rata pemain berwibawa yang diketuai ratu boling, Shalin Zulkifli.

Namun, hasrat barisan pemain negara untuk menggegar Indonesia mungkin tidak kesampaian susulan tuan rumah, Indonesia, mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan acara individu serta beregu.

"Mereka cuba mengetengahkan format yang berbeza dengan cara pungutan balingan strike adalah 30 manakala spare 20 mata," kata Rafiq Ismail.

Skuad boling tenpin turut negara dijangka terlepas peluang merebut empat pingat emas dalam temasya berkenaan.

Kini, sandaran untuk meraih pingat diletakkan kepada saingan trio, enam sepasukan serta masters dengan sasaran minimum satu emas daripada skuad wanita.

"Beraksi dalam acara berpasukan, ia masih lagi dilihat sebagai kelebihan buat kami berdasarkan pencapaian sebelum ini," kata Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

"Korea menjadi halangan utama negara tetapi saya yakin kelebihan Malaysia dalam acara berpasukan," kata Syafiq Ridhwan Abdul Malik.

Bagaimanapun, mereka sudah melakukan persediaan mantap, antaranya menyertai siri jelajah profesional di Amerika Syarikat bulan lalu.

Dalam temasya di Incheon 2014, skuad negara sekadar meraih empat pingat perak, antaranya menerusi perseorangan dan beregu wanita.