Atlet gimrama negara, Koi Sie Yan, masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan ekspresi muka lebih memuaskan yang sering kali menjadi masalah utama kepadanya ketika beraksi menjelang Sukan Asia Jakarta 2018.

Tidak seperti atlet lain, Sie Yan masih bergelut untuk memastikan dirinya sentiasa tersenyum dalam memberikan ekspresi muka yang menarik ketika beraksi tatkala itu adalah elemen penting dalam sukan gimrama untuk mencatat mata tinggi.

Mungkin ia hanya dianggap masalah kecil tetapi tidak bagi Sie Yan yang sering menjadi teguran jurulatihnya, Lidia Legotina, khususnya ketika saingan Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Justeru, atlet berusia 19 tahun itu enggan kekurangan sedemikian berterusan menjadi punca kepada aksinya dalam Sukan Asia.

"Paling mustahak, saya menikmati aksi dalam rutin selain dapat memberi riak wajah yang menarik.

"Setakat ini, ekspresi muka saya tidak begitu bagus, maka saya perlu perbaikinya semasa melakukan rutin dan berharap melakukan yang lebih baik daripada Sukan Komanwel Gold Coast," katanya.

Sukar untuk menyasarkan pingat di Jakarta tatkala pencabar bertaraf dunia dari China, Jepun, Kazakhstan dan Uzbekistan pasti akan lebih mencuri tumpuan.

Bagi Sie Yan, kedudukan 10 terbaik sudah cukup memuaskan untuknya yang julung kali beraksi dalam Sukan Asia.