Barisan pemain muda ditampilkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) ke Sukan Asia Indonesia bulan depan, namun sandaran tinggi diletakkan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat buat kontinjen negara.

Susulan pertemuan membabitkan pengurus skuad golf negara, Teoh Piek Kee, bersama ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini, empat pemain lelaki serta tiga pemain wanita akan mewakili negara dalam Sukan Asia.

Tiada nama besar dipertaruhkan MGA kerana hanya pemain berstatus amatur layak untuk beraksi di Indonesia.

Walaupun akan bertanding di bawah kategori B dan perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri, Abdul Azim mengharapkan golf kali ini dapat membawa pulang pingat buat kontinjen negara.

"Besar kemungkinan kami akan memasuki golongan lima terbaik dalam Sukan Asia. Kami juga berharap mampu membawa pulang satu pingat," katanya.

Sementara itu, Abdul Azim percaya kemampuan pemain negara kali ini biarpun dalam beberapa edisi sebelum ini persembahan Malaysia dalam acara golf tidak begitu membanggakan.

Empat tahun lalu di Incheon, pencapaian terbaik diraih oleh skuad golf negara ialah menduduki tempat kelapan acara berpasukan lelaki yang diwakili Chan Tuck Soon, Low Khai Jie, Muhd Afif Muhammad Razif dan Muhd Wafi Abdul Manaf.

"Kami akan membariskan pemain-pemain muda tetapi dalam persaingan amatur, mereka merupakan antara yang mampu memberikan saingan sengit."