Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, menggariskan lima jenis sukan yang mampu menyerlah dan menghadirkan pingat buat negara dalam Sukan Olimpik Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Beliau berkata atlet daripada sukan seperti badminton, hoki, silat, skuasy dan terjun adalah antara yang dijangka dapat menunjukkan prestasi baik dalam temasya sukan itu berdasarkan kelazimannya.

"Kalau kita lihat sukan yang secara tradisinya kita kuat, mungkin badminton, hoki, silat, skuasy dan terjun.

"Kita tahu daripada sukan-sukan ini, kita ada juara dunia. Kita harap mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam Sukan Asia ini.

"Ini adalah peluang mereka untuk menunjukkan komitmen untuk ke Sukan Olimpik. Kita juga boleh melihat peluang mereka untuk Sukan Olimpik nanti. Ini adalah jendela peluang ke Olimpik," ujarnya.

Bagaimanapun, Nazifuddin enggan mengulas sasaran rasmi MOM berhubung kutipan pingat, sebaliknya hanya menawarkan pendapat peribadi bahawa Malaysia mampu mengutip keseluruhan 40 pingat.

"Daripada sudut MOM, saya tidak boleh beri sasaran rasmi. Untuk pandangan peribadi, dalam Sukan Asia kita tidak pernah mencapai digit berganda untuk emas. Kalau lebih 10 emas adalah satu kejayaan yang tinggi dalam Sukan Asia.

"Dulu di Incheon (2014) kita dapat keseluruhan 33 pingat. Jadi, dengan kontinjen ini, saya rasa kita boleh kumpul keseluruhan 40 pingat. Kita ada peluang dan sudah tentu kita mahu berada dalam 10 kelompok terbaik," katanya lagi.

Malaysia akan menghantar atlet seramai 447 atlet untuk mencabar 35 jenis sukan dalam temasya sukan terbesar Asia itu.