Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, menegaskan bahawa antara faktor Malaysia menghantar kontinjen terbesar ke Sukan Asia adalah kerana kedudukan kita yang lebih dekat dengan negara jiran itu.

Ia menimbulkan persoalan berhubung kualiti dan kuantiti apabila Malaysia mengumumkan seramai 447 atlet akan mengibar cabaran negara dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

"Kontinjen yang paling besar, salah satu sebabnya adalah jarak Jakarta yang dekat dengan Malaysia. Jadi, kosnya agak tidak tinggi," kata Nazifuddin dalam temubual Nadi@1, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kualiti atlet yang diketengahkan, beliau berkata: "Kalau kita lihat kategori A yang dibiayai oleh MSN (Majlis Sukan Negara), kami sangat ketat untuk memasukkan atlet dalam kategori itu.

"Dulu kita mengambil kira kedudukan enam (terbaik) dalam Asia tetapi kami sekarang tingkatkan kepada minimum empat. Jadi, ada peluang untuk mendapatkan pingat. Itu kelayakan utama untuk kategori A.

"Tetapi, dalam kategori B di mana ia dibiayai oleh atlet sendiri dan persatuan sukan, mereka mempunyai peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka. Kita tahu ada sesetengah sukan ini tidak pernah dipertandingkan dalam mana-mana temasya.

"Ini peluang mereka. Ini juga cabaran untuk mereka yang sanggup membiayai sendiri. Kalau dapat pingat, MOM akan memulangkan semula dana yang mereka digunakan," katanya lagi.

Beliau turut merujuk kepada beberapa sukan yang agak asing seperti kasut beroda, perahu naga dan contact bridge.

"Perahu naga, contohnya, kami jumpa dengan jurulatih dan atlet mereka, mereka menunjukkan komitmen yang tinggi, berlatih selepas kerja. Mereka betul-betul fokus untuk Sukan Asia ini," tambahnya.

Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah negara, sekali gus menunjukkan gambaran bahawa kita mampu mengatasi kutipan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa dalam temasya di Guangzhou, China pada 2010.

Bagaimanapun, dengan jumlah seramai 447 orang, ia bukan pencapaian menakjubkan jika hanya mengatasi lima emas 14 perak dan 14 gangsa di Incheon 2014.