Kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia 2018 tidak akan mengadakan kem latihan pusat seperti kebiasaan, dengan Chef-de-mission, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata keputusan itu berpunca daripada jadual atlet yang terlalu ketat.

Kem latihan pusat diadakan bagi membakar semangat, mengurangkan tekanan latihan dan mengukuhkan hubungan atlet.

Bagaimanapun, pembatalan program itu sedikit-sebanyak menjejaskan persiapan atlet, terutama daripada segi psikologi.

"Kebanyakan atlet berada di luar negara untuk berlatih. Skuad hoki pun akan berlepas pada 21 Julai ini. Jadi, untuk mendapat satu tarikh di mana semua atlet hadir agak sukar.

"Dengan itu, kami tidak akan memgadakan kem latihan pusat tetapi kami akan mengadakan upacara serah bendera dan di situ kami akan mengadakan ucapan motivasi daripada atlet-atlet lama," kata Abdul Azim.

Kebanyakan atlet negara kini berada di Bukit Jalil, termasuk skuad berbasikal trek yang berpangkalan di Melbourne, Australia dan skuad terjun yang biasa berlatih di China.

"Walaupun nampak macam mudah, kami rasa ia (kem latihan pusat) perlu untuk ke Sukan Asia." kata penjaga gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya.

"Saya rasa kali ini kita boleh mengadakannya, seperti dilakukan ketika Sukan SEA yang lalu. Ia bagi memberi motivasi kepada atlet," kata pemain bola keranjang negara, Tai Chia Qian.