Harapan skuad terjun negara untuk berlatih di China sebelum ke Sukan Asia Indonesia 2018 tercapai apabola mereka akan membuat persiapan di Nrgara Tembok Besar itu selama sebulan bermula Ahad ini.

Sebelum ini, kem terjun negara dijangka hanya berlatih sepenuhnya di tanah air, apatah lagi selepas berlaku skandal disiplin yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kini mereka mampu menarik nafas lega apabila impian untuk melakukan persiapan fasa akhir di China tercapai jua sambil menyifatkan latihan di sana lebih teratur tanpa sebarang gangguan luar.

Paling utama, mereka hanya perlu lebih fokus kepada tahap konsistensi dalam setiap terjunan.

"Kami akan kembali berlatih di China bulan depan dan berharap dapat meningkatkan kualiti latihan tanpa gangguan lain," kata Ooi Tze Liang.

Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri, masih dalam fasa membentuk keserasian bersama Wendy Ng Yan Yee bagi acara 3 meter papan anjal seirama selepas rakannya itu digantung lapan bulan ekoran kes doping sebelum ini.

Terbaru, mereka hanya meraih tempat ketujuh dalam Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan, China, bulan lalu.

"Saya berasakan Wendy akan berusaha untuk menampilkan aksi terbaik dan kami akan menilai semula prestasi daripada aksi terdahulu di Wuhan sebelum beraksi dalam Sukan Asia," kata Dhabitah.