Trio renang seirama negara menggalas reputasi "underdog" dalam Sukan Asia Indonesia bulan depan yang menyaksikan perenang senior, Lee Yhing Huey berdepan tugasan penting -- memastikan dua atlet remaja tidak gugup di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

"Sukan Asia adalah kejohanan yang mampu membantu meningkatkan ranking kami serta meraih pengalaman yang baru," kata Yhing Huey.

Pada awalnya, Kesatuan Renang Amatur Malaysia tidak menghantar trio renang seirama kerana diletakkan dalam kategori B.

Bagaimanapun, keputusan itu ditarik balik selepas rayuan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) diterima Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ia menyaksikan perenang seperti Gan Hua Wei dan Fong Yan Nie bakal membuat penampilan sulung dalam temasya berkenaan.

"Kami sangat menghargai usaha ASUM dan KBS yang memastikan kami beraksi dalam Sukan Asia walaupun bukan sasaran utama meraih pingat," kata Hua Wei.

"Ini merupakan kejohanan pertama terbesar saya dan terdapat banyak tekanan yang perlu ditempuhi. Tetapi saya berasakan kami berada di landasan untuk menampilkan rutin terbaik," kata Yan Nie.

Pencapaian terbaik skuad renang seirama ialah kelima dalam acara berpasukan dalam temasya 2006 di Doha, Qatar.

Namun, sejak itu ASUM hanya menghantar tiga atlet untuk menyertai acara duet.

Skuad renang seirama masih jauh ketinggalan di belakang gergasi seperti Jepun, China dan Korea Selatan memandangkan negara itu antara pencabar terkuat dalam Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, jika trio ini berjaya mengatasi pencapaian terbaik duet, ia boleh dianggap satu kejayaan.