Pembantu jurulatih skuad ragbi 7's negara, Nazeer Nesharah, berharap pemain yang mewakili Malaysia ke Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan dapat membuktikan pemburuan pingat bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Di sebalik penyertaan kali ini menerusi kategori B, harapan tinggi disandarkan kepada skuad ragbi negara untuk memperbaiki pencapaian di Incheon empat tahun lalu yang menyaksikan mereka meraih tempat kesembilan.

Saingan di Jakarta kali ini menyaksikan mereka diundi sekumpulan bersama Jepun, Taiwan dan Indonesia, sekali gus memberi bayangan awal tempat ke suku akhir mampu dicapai.

"Setakat ini, pemain kelihatan sudah bersedia. Seramai 16 pemain bersaing sengit untuk merebut 12 tempat.

"Rata-rata pemain memberi komitmen yang sangat tinggi dan menunjukkan mutu peningkatan yang baik menuju ke Sukan Asia nanti," kata Nazeer.

Skuad negara tidak berdepan kesukaran untuk menjuarai pertandingan Perlis Sevens, Ahad lalu, apabila menewaskan JOB-ABI Warriors dalam final.

Mereka akan menyertai saingan Kuching Sevens hujung minggu ini sebelum memberi tumpuan kepada Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens di Jepun, awal bulan depan.

Dalam perkembangan sama, ketua pasukan skuad negara, Zulkiflee Azmi, percaya kombinasi yang lebih baik dapat ditampilkan dalam temasya kali ini bagi mengatasi kekecewaan di Incheon.

"Ini antara persediaan terbaik kami kerana sudah menjalani persiapan lebih awal. Sudah beberapa bulan kami berlatih dan Insya-Allah kami akan perbaiki pencapaian terdahulu.

"Kami terpaksa menunggu empat tahun sekali untuk (beraksi dalam Sukan Asia), jadi kami perlu meletakkan asas yang tinggi dalam latihan dan sasaran kami," katanya.