Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, bersedia sepenuhnya dengan sebarang kemungkinan perubahan peraturan dan taktikal pada saat-saat akhir yang mungkin dilakukan oleh pasukan tuan rumah dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogoos depan.

Sehubungan itu, Al-Jufferi perlu lebih bersedia dalam penampilannya dalam Sukan Asia nanti.

Kekalahan kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra, semasa Pra-Sukan Asia lalu membuatkan atlet kelahiran Pahang itu lebih berhati-hati.

Apa yang berlaku kepadanya ketika itu bukanlah disebabkan kesilapan, cuma perubahan peraturan yang tidak diuar-uarkan kepada pihak Al-Jufferi yang membuatkan atlet berkenaan sekadar bersedia dengan peraturan lama.

"Semasa Kejohanan Pra-Sukan Asia, pengadil atau juri mengkaji teknik dan taktikal saya.

"Mereka mengambil kesempatan itu untuk menukar peraturan (pertarungan).

"Kami belum tahu lagi sambil menyangka undang-undang lama diguna pakai. Jadi apabila mereka menukar peraturan, sukar untuk kami mengubahnya," katanya.

Tambah Al-Jufferi, dia kini bersedia dengan sebarang kemungkinan dalam temasya Indonesia 2018 dengan menegaskan hanya pingat emas sebagai bukti dia masih relevan selaku pesilat utama negara.

Bagaimanapun, 1 Mei lalu, Al-Jufferi menebus kehampaan ke atas Komang Harik menerusi kemenangan dalam kategori yang sama dalam Terbuka Belgium.

"Alhamdulillah dalam Terbuka Belgium, saya bertemu lawan yang sama dalam Pra-Sukan Asia, saya memenangi emas untuk menebus kehampaan lalu," tambahnya.