Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim, kecewa dengan kemerosotan prestasi kuartet 4x100m lelaki negara biarpun menjalani latihan di Jerman tatkala Sukan Asia Jakarta-Palembang berbaki sebulan sahaja lagi.

Kuartet negara yang dibarisi Nixon Kennedy, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Khairul Hafiz Jantan mencatat 40.19 saat ketika menjuarai satu kejohanan di Jerman, Ahad lalu.

Bagaimanapun, ia jauh daripada catatan yang dilakar dalam final Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, 39.39s, apatah lagi rekod kebangsaan 39.27s yang dirakam tahun lalu.

"Catatan mereka masih lagi menjadi tanda tanya kepada saya, mengapa atlet kita masih gagal melakukan larian di bawah 40s sedangkan dalam acara 200m, masing-masing sudah sudah memperbaiki catatan masa dan menghampiri catatan terbaik tahunan.

"Sepatutnya, mereka mudah mendapatkan catatan bawah 40s, mungkin ada perkara yang membelenggu mereka di sana.

"Saya tidak pasti masalah yang mereka hadapi di sana, mungkin dari segi teknikal, perkara-perkara ini perlu disusun semula," kata jurulatih itu mengulas perkembangan anak buahnya selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan sasaran untuk kuartet negara layak ke final Sukan Asia.

Bahkan, cabaran untuk Khairul Hafiz selaku juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 juga bertambah sukar.

Dia mencatat 10.39s ketika meraih tangga keempat di Jerman, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 10.18s.

Skuad negara dijadual menyertai satu lagi kejohanan sebelum pulang ke tanah air, 3 Ogos depan.