Dengan Sukan Asia Indonesia hanya berbaki lebih kurang sebulan sahaja lagi, skuad memanah compound lelaki masih berteka-teki mengenai siapakah individu yang bakal mengisi slot terakhir pasukan itu.

Tiada acara individu dalam temasya Jakarta-Palembang 2018 itu untuk acara memanah compound, sebaliknya fokus kepada acara berpasukan.

Untuk skuad lelaki negara, trio utama, Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Zulfadhli Ruslan sudah pasti tersenarai untuk membawa cabaran negara dalam Sukan Asia.

Namun, kini satu lagi slot menjadi rebutan di antara Alang Arif Aqil dan M. Khambeswaran.

"Pemanah keempat ini penting. Perkembangan mereka akan dinilai dalam sesi latihan sama ada calon tersebut boleh membawa prestasi itu dalam kejohanan sebenar nanti sebagai pengganti antara kami bertiga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," kata Juwaidi.

Memandangkan skuad compound tidak mempunyai ketua jurulatih, maka keputusan akhir akan ditentukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berdasarkan saranan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Sukar untuk mereka membayangkan sasaran pingat dalam temasya itu memandangkan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, antaranya kejohanan kompetitif yang terhad dan waktu latihan pusat yang singkat.

"Kami akan mengadakan latihan pusat.

"Kami akan saling bertukar-tukar pasangan dan dari situ kita boleh buat penilaian.

"Pasangan utama belum tentu boleh menang dengan pasangan kedua," ujarnya lagi.