Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mempertahankan keputusan menghantar kontinjen terbesar ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan apabila lapan persatuan sukan kebangsaan menghantar rayuan menambah atlet mereka.

Jumlah atlet Malaysia dijangka bertambah berbanding senarai awal 437 atlet.

Ia susulan tindakan lapan persatuan sukan kebangsaan merayu untuk menukar status atlet mereka daripada kategori B kepada A atau tersenarai sebagai kontinjen.

"Kos untuk menghantar atlet ke Sukan Asia Jakarta-Palembang tidak sama seperti ke negara lain.

"Ini peluang kami untuk mengenal pasti status atlet supaya dalam temasya sukan pada masa akan datang, kami dapat memperketatkan penyertaan atlet," katanya.

Jawatankuasa rayuan yang dipengerusikan Chef-de-Mission (CDM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, akan membuat keputusan Jumaat ini ketika MOM dilihat mengambil pendekatan membuka pintu kepada semua yang berminat ke Indonesia.

Untuk rekod, kontinjen terbesar Malaysia ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China ialah seramai 325 atlet.

Malaysia ketika itu meraih keputusan terbaik dalam sejarah dengan sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa dan berharap mengatasi pencapaian itu di Indonesia.

"Daripada segi sasaran pingat, saya menyerahkan kepada presiden MOM (Datuk Seri Norza Zakaria) untuk mengumumkannya. Tetapi atlet yang terpilih ke Sukan Asia kali ini dibuat berdasarkan sokongan persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ia memperlihatkan sokongan padu daripada kami sempena Sukan Asia akan datang," katanya lagi.