Skuad silat negara kini meneruskan siri aksi persahabatan dan latihan di Kyrgyzstan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Sebelum ini, skuad silat turut beraksi dalam Kejohanan Silat Terbuka Belgium serta latihan dan aksi persahabatan di Filipina, Mei lalu.

Bagi Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, latihan dan siri aksi persahabatan di Kyrgyzstan memberi persediaan terbaik buat atlet silat negara berdepan pesilat dari Asia Tengah di Indonesia nanti.

Skuad silat negara berlepas ke Kyrgyzstan pada 19 Jun lalu dan akan kembali ke tanah air pada Selasa ini.

"Pesilat-pesilat dari Asia Tengah mampu memberikan saingan buat atlet negara dan persiapan ini akan meningkatkan pengalaman mereka bagi menghadapi Sukan Asia nanti," katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berpuas hati dengan prestasi terkini pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, menjelang Sukan Asia.

Selaku antara harapan menuai tiga emas sasaran PESAKA dalam Sukan Asia, beliau percaya Al-Jufferi mampu memberi cabaran kuat di Indonesia nanti.

"Saya telah melihat prestasi cemerlangnya ketika beraksi di Manila dan persiapannya amat baik sekali."