KOM sukar penuhi tuntutan kos Miller

Oleh Staff Writer 13 Jun 2018 2399
KOM sukar penuhi tuntutan kos Miller
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu meneliti kembali perancangan menghantar atlet untuk menjalani latihan di Eropah selepas rundingan bagi mendapatkan khidmat jurulatih dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller, tidak menjadi kenyataan.

Sebelum ini, KOM, menerusi perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) lebih berminat untuk membawa Miller ke Malaysia menerusi kontrak dua bulan bagi melatih atlet pecut negara.

Ia sebagai persiapan mereka untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Bagaimanapun, menurut ketua jurulatih negara, Zainal Abas, perancangan itu terpaksa dilupakan berikutan Miller dikatakan tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh KOM.

Lantas, persatuan itu kini melihat kembali perancangan untuk menghantar atlet ke Jerman dengan dua lokasi ketika ini menjadi tumpuan.

"Perbualan saya dengan ejen beliau semalam untuk membawa Miller ke Malaysia membabitkan kos yang agak tinggi.

"Kami juga mencadangkan bayaran pendahuluan serta bonus pencapaian atlet dalam Sukan Asia, namun beliau menolak. 

"Beliau enggan berganjak dengan harga yang ditetapkan," katanya. 

Dalam pada itu, Zainal mengesahkan dua atlet negara akan beraksi dalam Terbuka Korea Selatan yang akan bermula Sabtu ini.

Mereka merupakan atlet lontar tukul besi, Jackie Wong, yang dalam misi memecah rekod kebangsaan di samping Luqman Hakim Ramlan bagi acara lompat jauh.

"Jackie dalam usaha mencapai balingan sekurang-kurangnya 68 meter.

"Luqman juga bersetuju untuk melupakan sambutan hari raya kerana dia juga akan ke Korea, " katanya lagi. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen