Meskipun sukan jet ski bukan sandaran pingat emas negara dalam Sukan Asia Indonesia, chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, tetap mengambil berat masalah yang melanda sukan itu dengan membantu menyelesaikan isu pengangkutan jet ski yang melibatkan kos tinggi.

Difahamkan, kos minimum pengangkutan bagi menghantar jet ski ke Indonesia berjumlah hampir RM30,000.

Masalah ini dikatakan timbul susulan berlaku perubahan kategori terhadap sukan jet ski daripada kategori A kepada kategori B.

Ia menyaksikan Persatuan Sukan Jet Ski Malaysia (MJSA) lewat melakukan persediaan membabitkan kos pengangkutan.

"Pengangkutan selalunya di bawah bidang urus persatuan sendiri tetapi ada sesetengah perkara yang boleh kami bantu.

"Surat jaminan diperlukan oleh pihak kastam Indonesia untuk mengatakan jet ski (atlet negara) akan dibawa pulang ke Malaysia sebaik kejohanan di Jakarta berakhir," kata Abdul Azim dalam lawatan kem itu sempena temasya dari 18 Ogos hingga 2 September nanti.

Kesemua peralatan dan jet ski yang akan digunakan ketiga-tiga atlet negara perlu tiba di Indonesia minggu depan.

Jelas, MJSA berdepan kesuntukan masa tetapi enggan masalah itu menjejaskan misi meraih kedudukan podium untuk penampilan pertama dalam temasya berkenaan.

"Pencapaian atlet-atlet kita sudah terbukti setelah menaiki podium dalam beberapa kejohanan di China dan Thailand.

"Jadi, saya mengharapkan podium terbaik," kata Presiden MJSA, Datuk Mohamed Saffian Omar.