Jurulatih skuad hoki Bangladesh, Iman Gobinathan, tidak gentar jika diundi bersama Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia selepas membantu pemain remaja negara itu layak ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina, Oktober depan.

Gobinathan berjaya meningkatkan reputasi hoki Bangladesh sejak mengendalikan pasukan di ranking ke-30 dunia itu, Mac lalu.

Beliau tidak bimbang jika diundi bersama Malaysia dalam Sukan Asia kerana mengetahui kelebihan dan kelemahan The Malaysian Hockey Tigers.

Malaysia dan Bangladesh lebih selesa dengan reputasi pasukan bukan pilihan.

"Impak yang besar akan berlaku jika pasukan pilihan mencipta kemenangan. Saya berasakan Bangladesh mampu mencipta impak dalam Sukan Asia kali ini," katanya.

Undian acara hoki akan dijalankan bulan depan, dengan hanya pemenang pingat emas akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Gobinathan memiliki rekod cemerlang membantu skuad projek 2013 meraih tangga keempat Piala Dunia Remaja selain turut bertindak sebagai penolong jurulatih ketika Malaysia menyertai Piala Dunia 2014.