Malaysia sepatutnya menetapkan sasaran pingat lebih tinggi selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan bahawa seramai 447 atlet negara akan mengibar cabaran dalam Sukan Asia Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Ia kontinjen terbesar dalam sejarah negara, petanda yang mampu mengatasi kutipan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa dalam temasya sukan itu di Guangzhou, China pada 2010.

Kontinjen besar -- kualiti atau kuantiti? Seramai 447 atlet yang akan mencabar 35 jenis sukan bermakna Malaysia akan muncul salah satu kontinjen terbesar di Indonesia.

Sepatutnya, ia mampu mengatasi pencapaian di Guangzhou, namun persoalannya sejauh mana kualiti atlet kali ini? Adakah Malaysia mampu meraih sekurang-kurangnya 10 emas?

Mengulas mengenai perkara itu, Chef-de-Mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata: "Ia sepatutnya penampilan lebih baik berbanding temasya di Incheon pada 2014.

"Oleh kerana itu, bermula minggu depan, saya akan membuat pemantauan terhadap persatuan sukan. Jadual pun sudah ditetapkan. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan dua atau tiga persatuan sehari dan di situ kami boleh menentukan sasaran pingat."

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, turut menyuarakan pandangan yang sama sambil berkata pihaknya sudah meneliti prestasi semua atlet yang berpontensi meraih pingat untuk negara.

"Kami memberi peluang yang adil kepada semua persatuan sukan. Kami juga tidak mengubah kriteria untuk ke Sukan Asia.

"Kami juga meneliti semula atlet agar kami tidak tertinggal mereka yang boleh menghadiahkan pingat. Diharapkan kontinjen paling besar ini dapat memberikan keputusan sangat baik," katanya.

Bagaimanapun, dengan kontinjen besar itu, ia bukan pencapaian menakjubkan jika hanya mengatasi lima emas 14 perak, 14 gangsa di Incheon 2014, malah Malaysia perlu menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik.