Tidak seperti Jakarta yang dihimpit isu kesesakan jalan raya atau dikenali sebagai "macet" oleh penduduk tempatan, Palembang pula memberikan ketenangan buat kesemua atlet yang bertanding dalam Sukan Asia 2018 apabila bukan sahaja tempat penginapannya dalam keadaan terbaik, malah jarak perjalanan ke venue pertandingan juga tidak memakan masa yang lama.

Seperti mana Jakarta, Palembang juga menawarkan kemudahan bertaraf dunia buat semua atlet yang menginap di perkampungan atlet, Kompleks Sukan Jakabaring.

Ia terbahagi kepada tiga zon dan dilengkapi sebanyak 967 bilik untuk menampung 3,000 atlet serta pegawai sukan yang terlibat.

Meskipun sebahagian daripadanya adalah hasil pembinaan ketika Palembang menjadi tuan rumah Sukan SEA 2011, namun ia masih berada dalam keadaan yang terbaik.

Paling melegakan apabila isu kesesakan lalu lintas tidak lagi menjadi masalah apabila jarak di antara perkampungan atlet dan venue pertandingan kurang daripada dua kilometer kerana masih berada dalam linkungan kawasan Kompleks Sukan Jakabaring.

Anggota sSekretariat kontijen Malaysia di Palembang, Noraseela Khalid, berpuas hati dengan kemudahan disediakan.

"Kemudahan di sini lebih mudah kerana semuanya berpusat di Kompleks Sukan Jakabaring.

"Pergerakan atlet lebih mudah tanpa perlu memakan masa perjalanan, jalan kaki pun boleh.

"Contohnya atlet mendayung, perjalanan mereka ke venue pertandingan hanya mengambil masa tiga minit," kata Noraseela.

Dia sempat mengimbau kenangannya meraih emas dalam acara 400 meter lari berpagar di Stadium Wijaya, Jakabaring dengan berkata: "Sebagai bekas atlet, adalah menjadi satu kebanggaan untuk mewakili Malaysia.

"Walaupun tekanan itu ada, kami perlu sentiasa tenang,"

Setakat ini, hanya atlet mendayung sudah tiba di Palembang semalam, namun dijangka akan terus menerima kehadiran barisan atlet Malaysia yang lain hari ini.