Jurulatih triatlon negara, Lau Kong Yew, mengakui sukar untuk mencari bakat baru dalam sukan ini menjelang persiapan Sukan SEA Manila 2019 memandangkan purata umur atlet sedia ada dalam skuad negara ialah 30 tahun ke atas.

Tamat Sukan Asia Indonesia, skuad triatlon gagal mencapai sasaran diletakkan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) untuk menamatkan cabaran di kedudukan keempat keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau tetap berbangga dengan pencapaian empat anak buahnya -- Irene Chong, Aldrian Yeo, Ryan Tan dan Teoh Sue Ling -- yang masih mampu memperkecilkan jurang di antara Malaysia dan negara lain di benua ini serta mengelakkan diri daripada tangga terakhir.

Namun, kerisauan utama adalah apabila barisan atlet yang sedia ada sudah menjangkau umur 30 tahun ke atas kecuali Ryan yang baru berusia 19 tahun.

"Malaysia tidak memiliki atlet muda jika dibandingkan negara-negara lain yang masih mampu menampilkan peningkatan bagi kejohanan akan datang," kata Kong Yew.

Senario yang paling ketara apabila Malaysia tidak mempunyai atlet simpanan berbanding negara lain yang menyenaraikan enam atlet untuk keseluruhan tiga acara yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut.

Malaysia sepatutnya membawa dua lagi peserta, Serena Yang dan Jason Lo, namun kedua-duanya tidak dapat disenaraikan kerana mengalami kecederaan pada saat-saat akhir.

Ia memaksa Ryan terpaksa meneruskan juga perlumbaan bagi saingan acara berganti-ganti berpasukan campuran Ahad lalu meskipun mengadu mengalami kekejangan otot di bahagian kaki setelah tamat cabaran individu..

"Saya mengalami kekejangan otot tetapi saya terus memberikan yang terbaik untuk Malaysia," kata Ryan.