Aldrian Yeo mengharapkan aksi di Palembang memadai buat isterinya, Serena, untuk berbangga dengan pencapaiannya dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Serena terlepas peluang mewakili Malaysia di samping suaminya tetapi ada sebab yang membuatkan mereka berdua teruja.

Aldrian dan Serena sepatutnya menjadi buah mulut sebagai antara satu-satunya pasangan suami isteri yang beraksi dalam acara triatlon.

Begitupun, Serena terpaksa memberi laluan kepada Teoh Sue Ling selepas dia disahkan mengandung cahaya mata sulung mereka.

"Isteri saya juga merupakan atlet triatlon seperti saya, dia kini mengandung tiga bulan.

"Perancangan kami pada tahun depan belum tentu lagi. Mungkin kami perlu berlatih secara bergilir-gilir sambil menjaga anak kami," katanya.

Aldrian menamatkan saingan di kedudukan ke-23 daripada 34 peserta menerusi catatan 2 jam 5 minit 31 saat.

"Secara peribadinya, saya gembira dengan pencapaian di sini.

"Satu-satunya perkara yang tidak memuaskan hati saya ialah terpisah dengan kumpulan utama semasa berenang walaupun saya melakukannya dengan baik.

"Ia memperlahankan saya dalam beberapa minit.

"Sejak tahun lepas lagi, saya belajar memperbaiki teknik larian.

"Saya memulakan larian dengan perlahan sebelum memecut dalam 5km terakhir," katanya lagi.