Gandingan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee, meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter serirama Sukan Asia 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Malaysia terpaksa meneruskan saingan tanpa prospek pingat emas dalam sukan terjun, Pandelela Rinong, yang menarik diri daripada Sukan Asia Jakarta-Palembang selepas mengalami kecederaan saraf kaki yang serius.

Ia merupakan tamparan kedua selepas juara dunia, Cheong Jun Hoong, terpaksa menarik diri sebelum saingan bermula ekoran kecederaan lutut.

Gandingan Mun Yee-Dhabitah tetap memberikan persembahan yang berkualiti dalam saingan kali ini.

Mereka mengumpul 310.80 mata selepas lima terjunan bagi memastikan pingat gangsa milik Malaysia.

Gandingan China, Zhang Jiaqi-Zhang Minjie, meraih pingat emas selepas mempamerkan persembahan berkualiti meraih 361.38 mata manakala wakil Korea Utara, Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae, di tempat kedua (337.86 mata).

Sementara itu, hasrat untuk satu lagi kilauan pingat dalam saingan 3m papan anjal seirama lelaki gagal dijelmakan ketika gandingan Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei terpaksa akur terlepas podium di tangga keempat.

Gandingan negara ini mempamerkan aksi terbaik dalam empat terjunan pertama namun kesilapan pada terjunan kelima daripada Yi Wei menyaksikan mereka berdua terpaksa berputih mata.

Tze Liang-Yiwei hanya sekadar merakam mata keseluruhan 396.27 mata untuk menduduki tempat keempat.

Emas dimenangai gandingan China, Cao Yuan-Xie Siyi, Korea di tempat kedua manakala Jepun melengkapkan podium.

"Secara keseluruhan, kami telah beraksi dengan baik, tetapi kesilapan dalam terjunan kelima telah menyaksikan Malaysia ketinggalan dan gagal raih gangsa," kata Tze Liang.