Setelah gagal membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Sukan Asia, jurulatih sepak takraw wanita negara, Mohd Fikri Mohd Nor, meminta untuk diberi tempoh setahun sahaja lagi bagi memantapkan barisan pemainnya untuk bangkit dalam Sukan SEA Manila, tahun depan.

Meskipun gagal menamatkan kemarau pingat dalam Sukan Asia sejak 1998, Fikri berjaya mengubah mentaliti barisan pemain negara untuk tidak gentar dengan lawan yang lebih hebat seperti Thailand dan Vietnam.

Jurang juga semakin dekat dengan negara kuasa besar tersebut berdasarkan perbezaan mata dalam setiap perlawanan dan Fikri berpendapat barisan sedia ada mampu digarap dengan lebih rapi lagi menjelang Sukan SEA Filipina dari 29 November hingga 10 Disember 2019.

Fikri juga berbangga kekosongan yang ditinggalkan kapten pasukan, Siti Norzubaidah Che Abd Wahab, mampu diisi pemain muda yang langsung tiada pengalaman beraksi dalam temasya sukan besar.

"Kami hanya perlukan setahun lagi untuk bersaing dengan Thailand dan Vietnam. Saya berbangga dengan persembahan pemain-pemain yang tidak memiliki pengalaman di pentas antarabangsa," katanya.

Pintu skuad negara untuk mara ke peringkat separuh akhir acara kuadran empat sepasukan dinafikan Vietnam setelah tumpas 0-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Selepas ini, tumpuan skuad negara adalah persiapan menghadapi Kejohanan Piala Raja Thai yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

"Persembahan kami meningkat dan dapat bersaing dengan kuasa besar seperti Vietnam. Kami berjaya memberikan saingan dan peningkatan akan ditampilkan dalam saingan akan datang," kata pemain ngara, Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli.