Skuad sepak takraw negara terpaksa melupakan khidmat perejam utama, Hanafiah Dollah, untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia setelah tidak mendapat pelepasan Institut Sukan Negara (ISN) pada saat-saat akhir kerana dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha.

Hanafiah merupakan antara gandingan utama trio sepak takraw negara bersama tekong, Muhd Syahir Rosdi dan apit kiri, Farhan Adam.

Namun, dua hari sebelum skuad negara berlepas ke Palembang, laporan perubatan menunjukkan Hanafiah mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad, enggan mengambil risiko itu dan membuat penukaran pada saat-saat akhir dengan menyenaraikan satu lagi perejam, Kamal Ishak, bagi mengisi kekosongan itu.

Secara keseluruhan, Malaysia kini membariskan lima perejam, antaranya Azlan Alias, Norhafizi Abd Razak, Afiffudin Razali dan perejam muda berusia 19 tahun, Noraizat Mohd Nordin.

"Dalam perancangan awal, memang kami akui Hanafiah adalah perejam nombor satu negara. Tetapi kami sudah buat persediaan siapa yang akan menggantikannya kalau ada apa-apa yang berlaku termasuk kecederaan," kata Abdul Talib.

Kamal pula menafikan penyenaraiannya adalah sekadar mencukupkan kuota kerana lambakan perejam dalam skuad negara ketika ini.

Antara kekuatan yang boleh ditawarkan Kamal kepada jurulatih adalah variasi rejaman yang berbeza di samping hadangan tinggi untuk mengekang asakan lawan ketika hari pertandingan.

"Kalau pihak lain mengatakan kehadiran saya hanya untuk mencukupkan anggota, saya tidak tahu. Mulut orang tidak boleh ditutup.

"Tetapi, jika saya diberi peluang, saya akan buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa saya layak untuk ke Sukan Asia," kata Kamal.