Trio negara bagi acara antara regu menamatkan kemarau emas 24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah, Indonesia, 2-1 dalam final Sukan Asia Jakarta-Palembang , hari ini.

Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan bermula.

Dalam pertembungan penuh dramatik itu, Malaysia menamatkan kemarau emas 24 tahun antara regu sepak takraw apabila menidakkan Indonesia dalam pertembungan tiga set.

Kali terakhir Malaysia menggenggam emas acara ini adalah ketika edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Tekong Zulkifli Abd Razak, perejam, Azlan Alias dan feeder, Farhan Adam, menjadi regu taruhan ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad.

Tetapi semangat Indonesia mendukung mereka untuk terlebih dahulu merampas set pertama 18-21 dan pada penghujung set itu, Syahir Rosdi dimasukkan bagi menggantikan Zulkifli.

Malaysia juga sebenarnya di ambang kekalahan apabila ketinggalan 17-19 di penghujung set kedua sebelum Zulkifli dimasukkan semula.

Malaysia bangkit menyamakan kedudukan set 1-1 dengan catatan 22-20 dan seterusnya satu sejarah buat Malaysia menyusul apabila regu negara itu memulakan set penentuan dengan cemerlang sebelum menoktahkannya dengan kemenangan 21-11.

"Terima kasih kepada semua yang datang menyokong. Kami meletakkan sasaran untuk meraih emas dalam perlawanan ini," kata Zulkifli.

"Kami telah membuktikan bahawa Malaysia mampu meraih pingat emas," kata Azlan.

"Kemenangan yang sukar dijangka kerana Indonesia mempamerkan aksi yang berkualiti hari ini. Ia merupakan satu kemenangan berharga buat kami," kat Farhan.

Sementara itu, ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, yang mengalirkan air mata bersyukur dengan kejayaan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyiapkan pasukan sebelum datang ke temasya ini.

“Saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat kejayaan yang dilakar skuad negara selepas begitu lama Malaysia tidak memenangi pingat emas dalam acara ini.

“Dalam perlawanan tadi, saya melihat komitmen pemain berada di tahap tertinggi, mereka memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya selepas perlawanan itu.

Abdul Talib berkata sekalung penghargaan buat semua rakyat Malaysia yang tidak henti-henti berdoa untuk melihat kejayaan skuad sepak takraw negara.

“Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang berganding bahu menaikkan prestasi skuad negara,” katanya.

Imej: Asiana