Malaysia menampilkan aksi menarik dengan meraih kemenangan dramatik 2-0 ke atas tuan rumah, Indonesia, untuk mara ke final acara sepak takraw regu berpasukan Sukan Asia 2018 di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan skuad negara di Incheon empat tahun lalu.

Ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, membuat pertukaran taktikal menghadapi Indonesia apabila menurunkan tekong, Zulkifli Abdul Razak, untuk bergandingan dengan apit kiri, Syazreenqamar Salehan, dan perejam, Hafizie Abdul Razak.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila mereka menyumbang mata pertama dengan kemenangan 21-17, 21-13.

Giliran seterusnya adalah trio utama, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam.

Tatkala Malaysia mengharapkan mata kedua hadir dengan mudah, trio itu tumpas set pertama16-21, bagaimanapun, mereka bangkit dengan kemenangan 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Mereka kembali memperkemaskan corak permainan dan akhirnya menoktahkan kejayaan 21-14.

Kemenangan itu membawa Malaysia untuk sekali lagi berentap dengan Thailand di pentas final.

"Dendam tahun lepas (kekalahan dalam Sukan SEA 2017) masih membara.

"Kami cuba memberikan yang terbaik pada hari ini, kami perlu berhempas-pulas.

"Edisi empat tahun lalu kami meraih gangsa, jadi kali ini kami mahu perak ataupun emas," ujar tekong negara, Syahir Rosdi.

Abdul Talib turut menyimpulkan perpaduan utuh dalam kem takraw sebagai dorongan untuk mereka melakar kejayaan bermakna.

"Kunci kejayaan ini ialah muafakat antara pemain, jurulatih, pemantau dan pengurusan.

"Jiwa kami sama, apa yang kami timba semasa di kem, itulah yang kami perjuangkan di sini," kata Abdul Talib.