Kasih dan aksi luar biasa adik di Bandung kini menjadi inspirasi buat seorang kakak untuk mengangkat skuad sepak takraw wanita menghadapi Sukan Asia 2018 di Palembang.

Sekilas pandang, pemain ini mirip seorang pemain bola sepak Malaysia yang sedang mencuri tumpuan dalam Sukan Asia.

Pemain itu adalah penggempur negara, Akhyar Rashid, yang memainkan pernanan penting dalam membantu kempen skuad negara.

Kakak kepada pemain Kedah itu, Nurrashidah Rashid, sukar untuk membendung rasa bangga kepada adiknya.

"Sangat gembira sebab kami betul-betul mahu dia beraksi baik pada usia mudanya, apatah lagi sekarang ini dia masih mengalami kecederaan bahu.

"Satu keluarga pun tahu dia cedera. Kami mahu dia melakukan yang terbaik," kata Nurrashidah.

Seperti keseluruhan rakyat Malaysia, dia juga tidak melepaskan peluang menyaksikan kemenangan bersejarah 2-1 skuad negara ke atas juara bertahan, Korea Selatan, semalam.

Semangat Akhyar dan Harimau Malaya kini menjadi bekalan Nurrashidah untuk membantu dalam misi pemburuan pingat acara regu berpasukan dan kuadran.

"Ketika saya melakukan fisioterapi, saya masih tengok perlawanan itu (Malaysia lwn Korea Selatan), kami memberikan sokongan penuh.

Diminta mengeluas mengenai harapan skuad sepak takraw wanita negara, dia berkata: "Kalau ikutkan, kami nampak cerah dalam kuadran tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk acara berpasukan juga."