Chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membayangkan peluang cerah untuk regu sepak takraw negara menyertai temasya itu selepas pendaftaran kontinjen negara bertanding ditutup.

Azim, yang tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta tepat jam 3.30 petang waktu Indonesia hari ini bagi menjalankan tugasan selaku ketua kontinjen negara, telah bertemu dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) serta Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi mendapatkan jalan penyelesaian buat skuad takraw negara.

Beliau memberikan maklum balas yang positif dan berharap segala keputusan yang diumumkan esok akan memihak kepada kontinjen negara.

"Kita akan mendapatkan keputusan muktamad esok dan saya yakin ia berkemungkinan besar berpihak kepada Malaysia," katanya.

"Malaysia memiliki bukti yang kukuh dalam isu ini dan dokumen yang telah dikemukan menjadi sokongan terbaik dan saya percaya OCA akan memberikan keputusan yang memihak kepada negara."

Azim turut memberikan penghargaan kepada INASGOC serta OCA dalam membantu kontinjen negara bagi menangani isu itu.

"Mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada kontinjen negara dan saya mengucapkan terima kasih di atas usaha mereka."