Laluan sukar acara poomsae tidak menggugat keyakinan pengendali taekwondo negara, Yap Yih Ting, untuk memburu pingat menerusi Chew Wei Yan dalam saingan individu lelaki Sukan Asia Indonesia, Ahad ini.

Wei Yan akan bertemu wakil dari Taiwan, Choy Cheuk Yin, sementara Yap Khim Wen pula akan bertemu Akbar Huda dari Qatar dalam pusingan pertama acara individu wanita poomsae.

"Di peringkat ini, saya rasa mental perlu kuat. Persiapan kami sangat baik, di mana apa yang perlu kami lakukan, kamu sudah lakukan.

"Juara dunia pun datang ajar kami kira-kira selama dua minggu. Persiapan kami boleh dikatakan 100 peratus. Tetapi, sekarang ia bergantung kepada kekuatan mental dan semangat, itu sahaja," kata Yih Ting.

Melihat laluan di peringkat suku akhir sekiranya layak, wakil negara terpaksa berdepan atlet Korea Selatan.

Bagaimanapun, Yih Ting tidak melihat hanya Korea Selatan sebagai satu-satunya lawan yang kuat, sebaliknya beliau menganggap Thailand dan Filipina juga bakal memberikan tentangan sengit.

"Selepas Korea Selatan, saya rasa Filipina dan Thailand," katanya ringkas.

Ditanya mengenai sasaran satu pingat, beliau berkata: "Ya, saya yakin dapat mencapai apa yang kami sasarkan."