Chew Wei Yan tidak terkesan dengan undian sukar acara poomsae apabila turun beraksi esok sebagai harapan terbaik skuad taekwondo untuk menamatkan penantian 16 tahun tanpa pingat Sukan Asia.

Wei Yan akan bertemu wakil dari Taiwan, Choy Cheuk Yin, sementara Yap Khim Wen pula akan bertemu Akbar Huda dari Qatar dalam pusingan pertama acara individu wanita poomsae.

Terpaksa mengharungi laluan sukar bagi acara poomsae, ia tidak menggugat keyakinan Wei Yan bagi memburu pingat di Indonesia, sekali gus menamatkan penantian 16 tahun.

"Kalau saya buat yang terbaik seperti diajar jurulatih, saya akan masuk separuh akhir selepas pusingan lapan, bertemu dengan Korea Selatan.

"Saya tiada masalah tentang tekanan. Saya sudah berlatih lama dengan poomsae dan saya juga ada memenangi pingat dalam acara ini dalam Terbuka Korea. Saya pasti akan melakukan yang terbaik," kata Wei Yan.