Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyeru atlet negara agar tidak berasa rendah diri apabila bersaing dengan atlet bertaraf dunia sempena Sukan Asia Indonesia.

Beliau mengharapkan semangat kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018 semakin membara susulan kejayaan beberapa atlet, termasuk skuad bola sepak B-23 negara ke atas Korea Selatan, Jumaat lalu.

"Sasaran kontinjen negara tetap tujuh pingat emas.

"Pada masa sama, kejayaan skuad bola sepak B-23 negara ke atas Korea Selatan boleh mencetuskan inspirasi.

"Walaupun berjumpa dengan 'raksasa' apa sekalipun, termasuk juara bertahan, kalau kita bersungguh-sungguh, Insya-Allah (kejayaan akan menyusul)," ujar beliau.

Dalam masa sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menjangkakan saingan hari pertama Sukan Asia mampu menyemarakkan semangat kem negara dengan berkata: "Satu permulaan yang agak baik kerana hari pertama, secara keseluruhannya kita mencapai satu medal.

"Saya harap selepas ini akan ada pungutan pingat yang lebih baik."