Pengurus Besar, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok, tidak rela untuk akur dengan kemahuan pihak penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) yang mahu menggunakan kaedah undian elektronik.

Beliau akan menyuarakan isu ini dalam mesyuarat pengurus pasukan Rabu ini, dengan mengharapkan pasukan Vietnam dan Singapura akan menyokong pendirian Malaysia.

"Kalau Malaysia sahaja mencadangkan undian secara manual tetapi tidak disokong negara lain, sudah pasti kita kalah.

"Undian itu ada dua cara, iaitu secara manual atau elektronik. Jadi, kita tunggu keputusannya pada Rabu ini," kata Osman.

Kaedah yang sama telah diguna pakai ketika saingan Kejohanan Dunia di Bali tahun lalu dan ia jelas memberi kelebihan ketara kepada pasukan tuan rumah.

Menerusi undian elektronik, ia boleh dimanupulasikan bagi memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah untuk bertemu dengan lawan yang mudah selain rangka lawan yang lebih sukar untuk Malaysia.

"Kita tahu, cara eletronik ini ada keraguan. Ya, kita tetap berlawan tetapi kita mahu memastikan bagaimana undian itu diatur supaya ia berjalan dengan baik dan telus," katanya lagi.