"Indonesia terdesak jika meneruskan undian elektronik," tegas pesilat negara, Al-Jufferi Jamari, yang mahu Indonesia lebih telus, terutama daripada segi proses undian yang diharapkan mampu dilakukan secara manual.

Al-Jufferi mendakwa ia merupakan taktik kotor tuan rumah bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) jika kehendak mereka tidak mendapat tentangan daripada pasukan negara lain.

Menerusi undian itu, ia boleh dimanupulasikan bagi memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah, Indonesia, bertemu dengan lawan yang mudah selain rangka lawan yang lebih sukar untuk Malaysia.

"Saya harap semasa mesyuarat nanti, mereka boleh minta cadangan daripada semua pasukan. Saya rasa pasukan dari negara-negara lain memang tidak setuju dengan perkara itu dan memerlukan seseorang membuka mulut untuk mengubah perkara itu," katanya.

Al-Jufferi turut membayangkan provokasi pasukan lain memandangkan situasi kini hanya memberi kelebihan kepada tuan rumah.

Bagaimanapun, jika usul gagal memihak Malaysia, dia bersedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan dengan janji sasaran emas tidak terjejas.

"Saya akan cuba dahulu untuk menyuarakan perkara itu. Dapat atau tidak, itu belakang cerita. Kalau ditakdirkan saya jumpa pesaing yang sukar dulu, tiada masalah. Orang kata, biar susah dahulu, senang kemudian."