Perenang negara, Welson Sim Wee Sheng, tidak menduga dapat memecahkan rekod kebangsaan acara 800 meter gaya bebas dalam Sukan Asia Indonesia, semalam, selepas dia hanya mengesahkan penyertaan bagi saingan itu dua hari sebelum tarikh akhir pendaftaran.

Acara 800m gaya bebas bukan menjadi tumpuan utama Welson, malah dia tidak mempunyai sebarang perancangan rapi bagi saingan itu.

Bagaimanapun, dia berubah fikiran dan mengambil keputusan untuk menyertainya pada saat-saat akhir.

Nyata ia memberi sedikit kepuasan buat Welson selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri apabila melakukan 8 minit 12.46 saat di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

Catatan itu memadamkan rekod lamanya, 8 minit, 12.74 saat, yang dilakukannya dalam Terbuka Malaysia 2015.

Begitupun, ia masih jauh berbanding pemenang acara itu, Sun Yang, dengan catatan 7 minit 48.36 saat bagi memecahkan rekod temasya.

"Sebenarnya saya tidak bercadang untuk bertanding dalam acara 800m dan hanya mendaftar dua hari lalu.

"Saya hanya cuba untuk menguji catatan masa yang mampu dilakukan.

"Permulaan pada jarak 500 meter yang baik lalu membuatkan secara tiba-tiba saya mendapat rentak," kata Welson.

Selepas kegagalan mara ke final 400m gaya bebas hari ini, tumpuan Welson kini terarah kepada dua lagi acara, iaitu 100m gaya bebas dan 4x100m gaya bebas bergandingan dengan Keith Lim, Foong Wei Tze dan Chan Jie.

"Semuanya berjalan lancar walaupun acara bermula tertangguh.

"Saya tidak rasa mempunyai masalah untuk layak ke final dan saya akan berusaha memberikan yang terbaik." kata Keith.