Perenang lelaki negara, Welson Sim Wee Sheng, memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 800m gaya bebas dalam Sukan Asia Indonesia di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu mencatat masa 8 minit 12.46 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu, 8:12.74 saat, yang diciptanya dalam Terbuka Malaysia 2015.

Dia, bagaimanapun, menduduki tangga terakhir daripada lapan peserta dalam final acara berkenaan.

Bekas juara Olimpik, Sun Yang dari China, memenangi acara berkenaan dengan rekod baharu kejohanan, iaitu 7:48.36 saat, manakala perenang Jepun, Takeda Shogo, dan atlet Vietnam, Nguyen Huy Hoang, meraih pingat perak dan gangsa, masing-masing dengan catatan 7:53.01 saat dan 7:54.32 saat.

Terdahulu, seorang lagi wakil negara, Tern Jian Han, gagal mara ke final acara 50m kuak lentang lelaki setelah menduduki tangga ke-20 daripada 38 peserta dengan catatan masa 26.88 saat pada peringkat saringan.

-- BERNAMA