Jurulatih ragbi 7s negara, Saizul Hafifi Md Noor, percaya Malaysia mampu merapatkan jurang dengan pilihan utama selepas meraih kedudukan kelima dalam saingan Sukan Asia yang tamat Ahad lalu.

Skuad negara memperbaiki prestasi di pentas Sukan Asia apabila menamatkan saingan di Indonesia di kedudukan kelima keseluruhan selepas menundukkan China 12-7 dalam aksi penentuan kelima-keenam.

Kejayaan itu mengatasi pencapaian di Incheon empat tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat kesembilan keseluruhan.

Pencapaian itu ternyata memberikan satu petanda bahawa Malaysia sudah mula menampakkan peningkatan dalam persaingan di Asia dan Hafifi berharap skuad kendaliannya akan mengambil pengalaman ini untuk terus beraksi cemerlang dalam kejohanan akan datang.

"Prestasi skuad negara kali ini telah menampilkan peningkatan memberangsangkan," kata Saizul.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain kerana memberikan komitmen terbaik, terutama dalam sesi latihan. Malaysia menamatkan saingan kali ini di tempat kelima dan ia dihasilkan menerusi kemenangan ke atas China.

"Pasukan seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Sri Lanka berada dalam kelas tersendiri. Mereka mempamerkan persembahan yang konsisten.

"Malaysia gagal berada dalam kelompok empat pasukan terbaik tetapi pengalaman yang diraih akan digunakan untuk membuat persediaan menghadapi Kejohanan Ragbi 7s Siri Asia," ujarnya.