Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi amaran kepada pihak pengurusan setiap sukan agar bertanggungjawab dengan perjalanan atlet bagi mengelak sebarang kesulitan, terutama melibatkan kesesakan lalu lintas di Jakarta.

Kesesakan lalu lintas di Jakarta sukar untuk dijangka ketika Sukan Asia 2018 berlangsung, dengan Shapawi memberikan amaran keras agar pihak pengurus mengetahui tanggungjawab, terutama daripada segi pengurusan masa melibatkan pergerakan ke venue perlawanan dan juga latihan.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat pengurus pasukan dan CDM (chef-de-mission).

"Pengurus pasukan sudah jelas apa tanggungjawab mereka dan tahu keadaan yang akan berlaku, termasuk bagaimana untuk mengendalikan pengangkutan.

"Kalau berlaku kelewatan, pengurus pasukan akan bertanggungjawab dan jurulatih adalah orang seterusnya," katanya.

Beliau tidak mahu sebarang kesulitan mengganggu kelancaran atlet selain ia turut menyumbang kepada gangguan fokus atlet sekiranya pihak pengurus gagal melaksanakan tugas mereka.

"Tidak boleh pengurus pergi dulu dan pasukan pergi kemudian. Itu patut ditekankan pengurus pasukan masing-masing. Saya rasa semua sudah maklum dan kami berharap sistem yang ada ini mempermudahkan lagi kerja-kerja pengurus pasukan.

"Sekiranya sistem itu tidak dapat membantu, pengurus pasukan perlu tahu bagaimana memperbetulkannya terhadap sistem yang tidak membantu," katanya lagi.