Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) menamakan atlet program Kita Juara, Fauzi Kaman Shah, sebagai sandaran pingat emas skuad negara dalam Sukan Asia 2018, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan atlet pelayaran daripada Program Podium di Indonesia, 18 Ogos-2 September ini.

MSA menetapkan satu pingat emas sebagai sasaran realistik buat skuad pelayaran negara menjelang Sukan Asia Indonesia dan selepas mengadakan perjumpaan dengan chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, semalam, mereka akhirnya mendedahkan nama atlet yang berpotensi menyumbang emas.

Namun, timbul persoalan apabila individu itu bukan atlet daripada Program Podium seperti Khairulnizam Afendy atau Norashikin Sayed, sebaliknya merupakan atlet program Kita Juara yang akan menyertai acara laser 4.7?

"Peluang paling cerah sekali (untuk memenangi emas) pada pandangan kami adalah acara laser 4.7.

"Sebelum ini, Fauzi menduduki ranking kedua dunia dalam acaranya.

"Justeru, kami mengharapkan dia menunjukkan prestasi dalam Sukan Asia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MSA, Mazlan Othman.

Dalam saingan empat tahun lalu di Incheon, pelayar negara meraih satu emas menerusi Faizal Norizan dan Syukri Abdul Aziz dalam saingan 420.

Skuad pelayaran negara akan menyertai Kejohanan Antarabangsa di Denmark pada 2 Ogos ini sebagai persiapan terakhir sebelum mengharungi cabaran dalam Sukan Asia 2018.