Barisan atlet papan selaju negara menagih pengalaman yang dimiliki Johari Fitry Khairrudin atau turut dikenali sebagai Joe Ipoh yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih negara dalam Sukan Asia 2018.

Joe mempunyai legasi yang kuat dalam kalangan peminat sukan papan selaju tempatan apabila sudah berkecimpung selama 20 tahun dan menjadi antara perintis Malaysia ketika menyertai Asian X Games 1999 di Kuala Lumpur.

Kini, dia bertanggungjawab untuk memimpin barisan atlet muda negara dalam Sukan Asia memandangkan ini juga kali pertama sukan ekstrem seperti papan selaju disenaraikan dalam temasya ini.

"Saya akan curahkan ilmu yang ditimba dalam kejohanan-kejohanan besar yang saya pernah sertai.

"Saya akan memberi panduan mengenai selok-belok dan cara mendapatkan markah yang lebih tinggi kepada mereka," kata Joe Ipoh menjelang hari saingan pada Selasa ini.

Empat pingat emas ditawarkan untuk sukan papan selaju dengan Malaysia akan menyertai kesemua acara street dan park untuk kategori lelaki dan wanita dengan mempertaruhkan empat atlet.

Berbanding Jepun yang dijangka akan mendominasi saingan serta persiapan rapi tuan rumah, Indonesia, yang menjalani latihan pusat di Amerika Syarikat (AS) selama tiga bulan, ia langsung tidak melemahkan semangat barisan atlet negara.

"Bagus ada kelibat Joe Ipoh di sini, dia banyak memberi tunjuk ajar dalam aspek kemahiran permainan, termasuk strategi pasukan dalam persembahan saya nanti," kata atlet negara, Christina Lai Grace.

Tambah seorang lagi pemain papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi: "Saya akan cuba layak ke final. Bagi kategori lelaki pula, peserta Malaysia akan cuba mendapatkan medal."