Penembak negara, Johnathan Wong, kesuntukan masa untuk membentuk keserasian bersama "buah hati" jika berhasrat pulang daripada Sukan Asia Indonesia dengan kilauan pingat.

Buah hati dimaksudkan adalah pistol baru yang digunakannya bagi menghadapi saingan di Palembang.

Senjata model Morini CM200 EI itu adalah variasi yang dilengkapi komponen elektronik dan hanya sampai ke tangan Johnathan, Julai lalu, selepas penantian selama empat bulan.

"Saya mendapat pistol baru itu bulan lalu ketika latihan di Korea Selatan. Pada masa itu juga, saya ada masalah dengan pistol lama. Saya berbincang dengan jurulatih, di mana saya akan balik awal dan mencuba pistol baru.

"Pistol ini sebenarnya lebih terkehadapan dan ia sepatutnya lebih baik daripada pistol lama saya. Saya perlu menyesuaikan diri dengannya. Cara untuk mengimbanginya lebih kurang, saya rasa." katanya.

Berbeza dengan kontinjen lain yang melalui penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Palembang, skuad menembak negara terpaksa singgah di Jakarta.

Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada fizikal Johnathan dan penembak negara yang tiba di Palembang lewat malam semalam.

"Saingan kelayakan akan berlangsung Ahad ini. Jadi, saya perlu berehat cukup malam ini," katanya lagi.