Persiapan teknikal tiga hari sebelum perlumbaan berupaya menjadi pemisah kepada skuad mendayung negara sama ada berada dalam kalangan pencabar pingat emas Sukan Asia Indonesia atau mereka yang pulang awal.

Mendayung adalah sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik tetapi kurang mendapat perhatian peminat sukan tanah air.

Kunjungan ke sesi latihan hari pertama skuad negara menyerlahkan mengapa sukan ini tidak hanya bergantung kepada kudrat atlet.

Malaysia diwakili Muhammad Khairuddin Azwi dan Mohamad Amirul Norhadi yang akan beraksi dalam acara di bawah klasifikasi single sculls.

Jurulatih skuad mendayung negara, Syukri Zaili Zarin, berkata sukan itu bukan hanya menitikberatkan aspek fizikal dan mental tetapi ia memerlukan kepakaran teknikal.

"Kami di sini menggunakan bot yang disediakan penganjur. Semuanya bot baru. Kami pasang dan membuat aturan mengikut kesesuaian dan keselesaan atlet.

"Kami akan cuba dan mendapat maklum balas daripada mereka. Apa yang tidak kena, kami buat aturan semula dan mengujinya semula. Kami akan melihat keadaan air dan angin kerana ia boleh menjejaskan aturan bot kami," katanya.