Sentuhan Adnan Ahmad akan diuji dalam Sukan Asia Indonesia selepas hanya tiga minggu kembali dilantik sebagai jurulatih compound negara apabila acara itu membuka tirai Selasa ini.

Skuad compound tidak mempunyai jurulatih sejak Mohd Zaki Mahazan meletak jawatan tahun lalu.

Ia antara punca Zulfadli Ruslan dan rakan-rakan berehat daripada menjalani kem latihan di Bukit Jalil.

Sehubungan itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengambil keputusan tepat dengan melantik Adnan kerana menyedari pemanah compound berdepan masalah untuk meraih pingat tanpa sentuhan jurulatih.

"Kalau ikutkan memang tidak cukup masa berlatih tetapi kerana ada tugasan masing-masing dan ramai yang balik ke latihan sendiri.

"Bagaimanapun, dalam tempoh tiga minggu ini, prestasi agak baik untuk menghadapi Sukan Asia. Memang mencabar sebab kami membuat persiapan singkat tetapi kami akan melakukan yang terbaik di sini," kata Adnan.

Skuad compound bakal buat penampilan kedua dalam Sukan Asia selepas dipertandingkan buat julung kali di Incheon, empat tahun lalu.

Ketika itu, Malaysia meraih satu perak menerusi recurve berpasukan lelaki.

Pencapaian terbaik compound ialah tangga keempat menerusi Zaki dalam individu lelaki.